Wednesday, March 21, 2012

Hampas Serbuk Kopi Sebagai Baja Organik Tanaman Anda

Serbuk kopi yang telah digunakan boleh digunakan sebagai baja organik untuk kebun anda. Ia disukai oleh cacing sebagai makanannya dan tanah yang dicampurkan dengan serbuk kopi yang telah mereput akan lebih terurai dan mudah untuk air mengalir.

Serbuk kopi ini mudah didapati di kedai-kedai kopi. Sebagai contoh, di Malaysia anda boleh minta serbuk kopi yang telah digunakan di kedai-kedai Starbuck. Anda perlu tanya kepada pekerja dan dapatkan ia secara percuma.

Anda hanya perlu taburkan sekeliling tanaman anda dan sebaiknya serbuk kopi ini dicampurkan dengan tanah dalam nisbah satu bahagian tanah dan dua bahagian serbuk kopi yang telah digunakan. Ia bertujuan untuk mempercepatkan proses mereput dan menjadikan ia baja organik kepada tanaman anda.

Bagi anda yang mahu menggunakan baja organik daripada tahi kambing dan ayam, mencampurkan baja organik ini dengan serbuk kopi dapat membuang bau yang tidak menyenangkan kerana serbuk kopi dapat menyerap bau tersebut.

Serbuk kopi terpakai daripada kedai kopi Starbuck

Tuesday, March 6, 2012

Petua Untuk Menyuburkan Tanah

Cacing tanah sebelum dilepaskan ke tanah kebun

Tanah yang subur amat penting bagi pembiakan tanam-tanaman. Tanah perlu sentiasa digembur dan dibaja agar sentiasa berkhasiat dan sesuai untuk tanaman. Baja yang baik adalah baja organik. Salah satu cara untuk menyuburkan tanah tanpa modal yang banyak adalah dengan menggunakan cacing tanah.  Sama ada kebun yang luas atau hanya tanah di perkarangan rumah, cacing tanah masih tetap diperlukan.

Pergerakan cacing tanah tersebut dalam tanah berfungsi untuk menggemburkan tanah. Ini akan membolehkan pengudaraan pada tanah tmenjadi baik dan pengaliran air lebih lancar. Anda mempunyai tukang cangkul yang bekerja dari dalam tanah itu sendiri dalam menggemburkan tanaman.

Tanah yang dicerna oleh cacing tanah juga mempunyai khasiat yang lebih baik untuk tanaman. Cacing tanah membantu dalam membaja tanaman dengan baja organik secara terusan kepada tanaman.

Cacing tanah di Malaysia boleh didapati dan dibeli dengan mudah di kedai jualan ikan pelihara atau kedai peralatan memancing. Pastikan cacing tanah yang dibeli masih hidup dengan memerhatikan pergerakan ia.