Wednesday, April 16, 2008

Petua Melembutkan Daging

Untuk melembutkan daging dengan cepat, petua berikut amat berguna. Caranya ialah rebuskan daging yang siap dicuci dengan satu sudu serbuk soda bikarbonat. Setelah daging lembut bolehlah dicuci dengan air bersih sebelum dimasak mengikut menu kegemaran. Selain itu juga, anda juga boleh merebus daging bersama daun nangka jika tiada soda bikarbonat.

Minum Susu Panas Bantu Tidur Lena

Kalau anda mempunyai masalah untuk tidur malam, minumlah segelas susu panas sebelum masuk tidur. Susu panas mendorong kita untuk tidur dengan lebih nyenyak. Ini berlaku kerana kalsium yang terkandung di dalam susu membantu kita merasa lebih tenang dan relaks. Susu juga kaya dengan 'trytophan' yang mana ia berfungsi untuk mengubahnya kepada serotonin. Serotonin ialah hormon semulajadi di dalam tubuh yang mendorong rasa mengantuk. Jika anda sukar tidur, elakkan juga makan makanan berat di tengah malam. Makanan berat akan merangsang pencernaan dan ini menyukarkan anda untuk tidur lena. Pencernaan juga boleh meningkatkan suhu tubuh dan membuat tubuh serta otak bekerja.


Sunday, April 13, 2008

Petua Memasak Bubur Kacang Lagi Sedap

Bubur kacang sama ada kacang merah atau kacang hijau memang merupakan pencuci mulut yang menjadi kegemaran semua. Ia enak dimakan sama ada sejuk atau pun panas.

Untuk mendapatkan bubur kacang yang lebih enak, sebelum merebus kacang, elok digoreng tanpa minyak terlebih dahulu. Goreng sehingga agak garing sedikit dan berbau wangi. Matikan api. Selepas itu rendam dalam air lebih kurang 2 jam supaya ia cepat kembang dan lebih cepat masak nanti. Insya-Allah anda akan dapat bubur kacang yang lebih enak kerana bangkit bau wanginya, apatah lagi di tambah dengan durian sebagai perisa tambahan.


Petua Elakkan Mata Pedih Mengupas Bawang

Bila ada kenduri, masalah yang sering dihadapi adalah semasa mengupas bawang dalam kuantiti yang banya. Ini kerana semasa mengupas bawang mata akan menjadi pedih dan berair.

Untuk mengelak masalah ini, cuba rendam dulu bawang dalam bekas berisi air, anda boleh mengupas terus bawang yang direndam tadi di dalam air. Ada satu cara lagi, anda boleh simpan bawang yang hendak digunakan esok hari di dalam peti sejuk tanpa mengupas kulitnya. Keesokkan harinya anda boleh mengupas dan memotong bawang tersebut tanpa mata rasa pedih dan berair.

Petua Hilangkan Panau

Panau adalah sejenis penyakit kulit yang tidak menyakitkan. Namun ianya membuat kulit anda kelihatan tidak menarik. Oleh yang demikian jika anda mengalami masaalah panau, cubalah petua di bawah ini:-

Ambil lengkuas atau bawang putih, gosokkan pada panau itu sehingga kulit anda terasa perit dan kemerah-merahan. Ulangi selama seminggu. Insyaallah panau anda akan beransur hilang dan kulit anda akan kelihatan lebih menarik




Petua Rambut Gugur

Rambut adalah mahkota bagi seorang wanita. Masalah kelumumur dan masalah rambut gugur adalah satu igauan ngeri bagi semua wanita.

Untuk mengatasi masalah ini, banyak petua yang boleh diamalkan. Antara petua yang popular adalah dengan menggunakan santan kelapa. Caranya adalah, ambil pati santan dan lumurkan di atas kepala. Balut dengan tuala yang bersih. Sebaiknya biarkan pati santan itu semalam di atas kepala. Amalkan petua ini seminggu sekali. Selain elok untuk mengatasi masalah rambut gugur ia juga amat sesuai untuk melebatkan rambut.

Antara petua yang baik untuk mengelakkan rambut gugur adalah dengan meletakkan daun bunga raya yang telah diramas. Lendir daripada pokok bunga raya dipercayai dapat menyuburkan akar rambut.


Petua Melembutkan Kek dan Donat

Jika salah membuat adunan, kek dan donat akan menjadi keras dan pastinya menghilangkan selera untuk memakannya. Bagi mengelak masalah ini, apa kata anda menjemur terlebih dahulu tepung gandum di bawah cahaya matahari. Hasilnya tekstur tepung menjadi lebih ringan dan boleh memjadikan adunan lembut.

Untuk donat pula selalunya menjadi agak keras dan untuk melembutkannya, campurkan dua atau tiga biji kentang yang telah direbus dan dilenyekkan terlebih dahulu ke dalam bancuhan berkenaan. Hasilnya donat akan menjadi lembut dan sedap walau pun telah sejuk.

Petua Mewangikan Peti Sejuk

Kita tentunya tidak dapat lari dari berhadapan dengan masalah peti sejuk yang menimbulkan bau yang tidak menyenangkan. Untuk mengatasi masalah ini, keluarkan semua barangan yang ada dalam peti sejuk dan lap semua bahagian. Apabila kering, letakkan sedikit esen vanilla ros atau beberapa helai daun pandan ke dalam peti sejuk. Tutup peti sejuk selama beberapa minit dan kemudian barulah dimasukkan semula bahan-bahan ke dalam peti sejuk.

Untuk mengelakkan bau itu dari berulang. Biarkan beberapa helai daun pandan di dalam peti sejuk. Selain itu, meletakkan arang kayu juga dapat mengatasi masalah ini. Ini kerana arang kayu berupaya menyerap bau yang kurang menyenangkan dalam peti sejuk.


Wednesday, April 9, 2008

Jus Campur Tambah Daya Tahan

Jus buah memang merupakan minuman yang baik untuk kesihatan. Kandungan vitamin mahupun seratnya membantu proses metabolisme tubuh. Namun begitu, jika dicampur buah-buahan menjadi sejenis minuman jus, ia memberikan khasiat yang berlipat ganda.

Jus epal, lobak merah dan halia

Membantu mengurangkan risiko flu dan selsema. Tambahkan beberapa hirisan halia segar ke dalam jus lobak merah dan epal ini untuk mendapat khasiatnya.

Jus epal, limau dan anggur

Campuran jus ini mengandungi banyak vitamin C yang boleh membantu meningkatkan daya tahan tubuh dan memerangi jangkitan. Jus anggur juga mengandungi zat anti racun yang membantu mencegah jangkitan dan batu karang.

Jus lobak merah, lemon dan saleri

Selain vitamin C, campuran jus ini mengandungi karatenoid yang meningkatkan sistem imun badan, menambah pertumbuhan bakteria baik dalam pencernaan dan efektif untuk mengurangkan bahaya dehidrasi. Campurkan dua sudu makan madu sebagai pemanis untuk mendapatkan khasiat maksima.